1.RAWATAN TRADISIONAL
Kebanyakan wanita muda masih mengutamakan cara perubatan tradisional serta petua daripada orang tua-tua bagi menjaga kesihatan diri sewaktu mengandung dan berpantang. Biasanya amalan berpantang cara orang dulu-dulu dilakukan dengan bimbingan orang yang lebih tua. Kaedahnya pelbagai, bergantung kepada keturunan dan budaya seseorang.Rawatan dalam berpantang boleh dikategorikan kepada beberapa perkara dan menggunakan ramuan-ramuan yang tertentu. Antara rawatan tersebut adalah bertungku,
berurut, mandi herba dan mandi lulur, bertangas, memakai bengkung, berpilis, bertasak, minum air akar kayu dan jamu serta berpantang makan dan minum.
2.Bertungku
Amalan bertungku merupakan amalan tradisional yang penting ketika berpantang. Tidak lengkap berpantang sekiranya tidak bertungku. Biasanya tungku diperbuat daripasda besi sebesar botol 500ml dan beratnya kira-kira 1.5 kg. Bertungku juga tidak semestinya menggunakan besi kerana batu sungai atau anak lesung juga boleh digunakan. Ini kerana kesan bertungku bukan terletak kepada beratnya tungku tetapi tahap kepanasannya yang dapat meresap hingga ke dalam.
Besi atau batu tungku perlu dipanaskan terlebih dahulu selama 1/2 - 1 jam di atas api yang sederhana. Kemudian tungku perlu dibalut dengan kain cita yang telah dilapik dengan daun mengkudu yang dikenali sebagai Morinda citrifolia. Jika daun Morinda citrifolia tiada maka daun sirih iaitu nama sainsnya Piper betel atau daun lengkuas juga boleh digunakan. Kesan panas dari tungku akan meresap ke dalam daun dan sekaligus bertujuan merawat bahagian badan semasa proses bertungku.Proses bertungku dilakukan sambil berbaring dan tungku ditekan perlahan-lahan pada sekitar pangkal paha, berhampiran ari-ari / bawah pusat dan di atas perut ( bawah buah dada ). Untuk kesan tungku yang lebih baik tapak kaki serta tumit juga perlu ditungku.
Amalan bertungku ini penting memandangkan ia dapat menghangatkan badan ibu, membuang angin, mengecutkan urat yang kembang selepas bersalin di samping memperbetulkan serta melancarkan perjalanan darah. Biasanya darah nifas mengalir lebih lancar selepas bertungku. Justeru bertungku ada kala diteruskan hingga keluar darah terakhir berwarna seakan-akan putih keperangan atau dipanggil darah meroyan. Jika ibu rajin bertungku bolehlah diteruskan hingga habis pantang3.Berurut menyegarkan badan
Urut juga merupakan amalan penting dalam pantang. Ia hendaklah dilakukan setiap pagi sebelum mandi atau selepas bertungku. Pastikan rawatan ini dilakukan oleh bidan atau tukang urut yang berpengalaman. Amalan urut perlu dilakukan seminggu selepas bersalin selama tiga hari berturut-turut. Bagi yang ingin merasa lebih segar, amalan berurut boleh dilakukan pada penghujung pantang iaitu hari ke 42, 43 dan 44 diikuti pada hari ke 60 dan ke 100 selepas berpantang.Sebaiknya mulakan urutan pada sebelah pagi dan proses ini mengambil masa lebih dari satu jam. Urut bertujuan memulihkan kesegaran badan, melancarkan peredaran darah, membuang angin, membetulkan urat, memperkemaskan bahagian perut dan mempercepatkan pengeluaran darah nifas serta kekotoran.
Urut hendaklah menggunakan minyak. Kini terdapat banyak minyak yang menggunakan herba dan khasiat tumbuhan yang dijual di pasaran. Misalnya minyak serai wangi, minyak kayu putih dan lain-lain lagi.4.Mandi
Mandi tidak boleh terlalu kerap semasa berpantang. Oleh itu adalah lebih baik mandi menggunakan air rebusan dedaun ataupun mandi lulur menggunakan lulur. 5.Mandi dedaun
Setelah selesai bertungku dan berurut, lebih elok mandi menggunakan air rebusan daun daripada air biasa, kerana setiap daun yang digunakan mempunyai khasiat tersendiri. Sebolehnya sepanjang tempoh berpantang, mandi hendaklah sepenuhnya menggunakan air rebusan daun atau sekurang-kurangnya selama dua minggu.
Jika di kampung, banyak daun kayu dan pucuk muda digunakan ibu atau nenek kita untuk mewangikan air mandi kala berpantang. Antara daun yang boleh digunakan adalah daun kunyit terus, daun lenggundi ( Vitex negundo ), daun secerek, daun pandan, daun lengkuas, daun serai wangi, daun pisang kelat, daun capa, daun inai ( Lawsonia terma ), daun bonglai, daun mengkudu ( Morinda citrifolia ) dan rempah halba. Sekiranya ramuan ini payah dicari di bandar-bandar maka ibu-ibu boleh mendapatkan daun-daun yang dijual di pasar atau mudah dicari di rumah-rumah jiran berhampiran.
6.MEMAKAI BENGKUNG
Selain dari rawatan dalaman, kita perlu juga mengamalkan rawatan luaran. Antaranya ialah pemakaian param ke seluruh badan supaya badan tidak masuk angin dan memakai pilis. Pilis disapukan memanjang menutupi dahi bertujuan untuk menghilangkan rasa pening yang sering dialami oleh wanita bersalin
Seterusnya sebelum memakai bengkung, sapukan perut dengan tapel ( ubat barut ) yang dicampurkan dengan lima titik minyak kayu putih, tiga titik minyak gandapura, kapur sirih dan perahan limau nipis. Khasiat tapel adalah untuk mengurangkan rasa sakit-sakit di perut selepas bersalin, mempercepatkan pengeluaran darah kotor, mengempiskan perut serta memulihkan kondisi kulit perut.7.Minum air akar kayu dan jamu
Semasa tempoh berpantang ibu-ibu digalakkan minum air akar kayu dan jamu yang boleh dibeli terus dari penjual-penjual ubatan tradisional. Minum air akar kayu dan jamu menyihatkan badan di samping mengembalikan kesegaran ibu di sepanjang tempoh berpantang. Minum air akar kayu turut membantu mengecutkan rahim secara rawatan dari dalam kerana khasiat dari campuran herba akar kayu yang digunakan.
Cara minum air akar kayu dan jamu turut mempunyai petua dan cara yang tersendiri dan diminum sebelum makan. Tekan ibu jari kaki kanan ke atas ibu jari kaki kiri supaya rahim dan punggung tidak kembang. Tangan kiri digunakan untuk ampu payudara agar tegang sentiasa. Selawat tiga kali, tarik nafas dan kempiskan perut supaya tidak buncit. Minum senafas agar tidak terasa mual.8.Makanan berkhasiat untuk yang berpantang
Jika merawat diri tetapi tidak berpantang makan samalah seperti mandi tidak bersabun. Pada minggu awal bersalin eloklah dimakan makanan yang kering bagi tujuan mengecutkan rahim. Hidangan yang pedas, gatal, berlemak dan terlalu berminyak tidak elok dimakan.Sebenarnya banyak hidangan yang boleh dijadikan menu ibu bersalin, dengan cara memasak yang berbeza, sama ada dipanggang, direbus atau dikukus. Lada hitam , halia, serai, asam gelugur dan rempah ratus adalah sebagai perisa yang dijadikan aroma serta membangkitkan selera makan ibu. Selain dari itu ulaman seperti pegaga (Centella asiatica), kunyit (Curcuma domestica), halia (Zingiber officinale), cekur (Kaempferia galanga), mengkudu (Morinda citrifolia) dan sebagainya boleh mengimbangi diet di dalam makanan ibu-ibu di samping mempunyai khasiat yang tinggi untuk tujuan rawatan semasa berpantang.
No comments:
Post a Comment